JANGAN PINJAMKAN AKAUN BANK!

Antara kes yang semakin kerap dilihat di Mahkamah Majistret seluruh Malaysia adalah kes melibatkan kesalahan membantu menyimpan/menyorok/memiliki harta curi tanpa alasan munasabah. Punca mereka dituduh? Kerana mereka MEMINJAMKAN/MENYERAHKAN AKAUN BANK kepada pihak ketiga!

Rata-rata mereka dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya mereka beruntung, mungkin mereka akan ditawarkan pertuduhan dibawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil di mana hukuman adalah denda yang boleh sampai RM1000 atau penjara maksima 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Di dalam kes seperti ini secara lazimnya, tertuduh telah menyerahkan akaun bank kepada pihak ketiga untuk sama ada dipinjam untuk tujuan perniagaan, terutamanya kepada ahli keluarga atau rakan-rakan yang telah disenarai hitam oleh bank.

Tak kurang pula ada antara mereka yang menjadi mangsa kepada ‘SCAM‘ pinjaman wang yang menggunapakai media sosial seperti Facebook yang mana mangsa penipuan ini akan diminta menyerahkan kad ATM bersama nombor pin untuk ‘memasukkan wang pinjaman’. Ramai orang awam yang mengalami kesempitan wang tertipu dengan janji manis organisasi Scam seperti ini yang menawarkan pinjaman wang dengan syarat yang amat ringan dan terma yang menarik.

Ada juga yang dengan sengaja menyerahkan akaun kepada organisasi yang menjalankan perjudian secara online dan mendapat pulangan ‘upah’ kerana meminjamkan akaun tersebut.

JANGAN SEKALI-KALI SERAHKAN AKAUN BANK ANDA KEPADA PIHAK KETIGA.

Apakah yang mungkin berlaku sekiranya anda masih berkeras hendak serahkan akaun anda?

Anda masih dikira bertanggungan terhadap penggunaan akaun anda. Segala kesalahan yang dilakukan PENGGUNA akaun akan dikesan balik kepada PEMILIK akaun. Dan sekiranya siasatan mendapati bukti terputus setakat disitu sahaja tanpa dapat mengesan identiti PENGGUNA akaun tersebut, agak-agaknya siapakah suspek utama bagi kesalahan tersebut? Sudah tentu PEMILIK BERDAFTAR akaun!

Jadi anda akan berisiko menanggung kesalahan yang dilakukan oleh orang lain!

Sekiranya Pengguna akaun menjalankan kesalahan menipu atau ‘scam’ terhadap orang awam, anda berisiko disiasat dan dituduh dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Mungkin anda perlu ‘bermalam’ di lokap selama beberapa hari sehingga siasatan selesai.

Bagaimana pula sekiranya akaun tersebut digunakan untuk menyalurkan wang haram? Atau sekiranya akaun tersebut digunakan untuk membuat sumbangan kepada organisasi pengganas di luar negara?

Risiko yang anda tanggung adalah amat besar.

Walaupun Pengguna Akaun yang membuat kesalahan, anda sebagai Pemilik Akaun berdaftar akan berdepan dengan proses perbicaraan yang rumit dan berpanjangan dalam membuktikan bahawa anda sebenarnya tidak terlibat dengan kesalahan yang dilakukan.

Oleh itu berfikirlah sebelum bertindak.

Jangan sesekali meminjamkan akaun, kad ATM dan nombor PIN kepada mana-mana pihak ketiga.

1 thought on “JANGAN PINJAMKAN AKAUN BANK!”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *