ANAK/BAPA/SUAMI KENA TUDUH? JANGAN PANIK!

Sudah beberapa kali saya berdepan dengan klien yang PANIK setelah dapat tahu ahli keluarga mereka ditahan dan selanjutnya dituduh di Mahkamah. Memang satu perkara yang normal untuk seseorang yang terjebak dengan situasi seperti ini untuk berasa cemas, takut dan gementar. Akan tetapi, kita perlu berhati-hati agar tidak menjadi panik yang melampau, sehingga boleh mengaburi kebolehan anda untuk membuat keputusan.

Sekiranya anda dalam keadaan panik, anda akan mudah dimanipulasi oleh pelbagai pihak, yang akan menggunakan rasa takut anda untuk memaksa satu keputusan yang terburu-buru dibuat. Apabila panik menguasai diri, seseorang itu mudah tertipu dengan kata-kata manis, harapan palsu dan janji-janji kosong, tak kisah dari siapa.

Seseorang yang panik juga mungkin akan membuat keputusan kurang bijak yang biasanya akan memakan diri di kemudian hari. Sebagai contoh – saya pernah berdepan dengan seorang OKT (Orang Kena Tuduh) yang ingin mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Apabila ditanya mengapa dia ingin mengaku salah bagi kes tersebut (Kes dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara wajib sekurang-kurangnya selama tempoh 12 bulan), beliau berkata bahawa beliau akan dikenakan DENDA SAHAJA. Apabila saya ingin menjelaskan perkara sebenar, beliau terus enggan mendengar nasihat saya. Saya diberi layanan ‘stonewall‘. Beliau berkata bahawa beliau telah dinasihati untuk mengaku bersalah semasa dalam tahanan sekiranya ingin mendapatkan denda.

Kami sebagai peguam tidak boleh memaksa mana-mana pihak untuk menerima nasihat kami, jadi saya terpaksa akur dengan keputusan OKT tersebut. OKT tersebut memilih untuk mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara 12 bulan. Raut wajah terkejut OKT tersebut kekal dalam ingatan saya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Tidak kurang juga dengan ahli keluarga tertuduh yang terlampau panik sehingga tak dapat membuat keputusan yang baik, dan meluru mendengar nasihat yang salah.

Lapangkan dada. Tarik nafas. Dapatkan nasihat peguam. Fahamkan situasi anda. Buat keputusan dengan maklumat yang lengkap (‘informed decision’).

Bagi tertuduh, tersalah membuat keputusan membawa impak yang berat terhadap kes mereka. Sekiranya pengakuan bersalah telah dibuat, adalah amat sukar untuk suatu rayuan dibuat ke peringkat Mahkamah selanjutnya. Ini adalah kerana tertuduh telahpun dibacakan pertuduhan melalui jurubahasa Mahkamah, diperjelaskan sebab dan akibat hukuman, dan masih memilih untuk mengaku bersalah. Tanggapan yang wujud adalah tertuduh telahpun membuat keputusan untuk mengaku bersalah setelah memahami kesemua faktor di atas.

Bagi keluarga tertuduh, adalah sangat mustahak untuk anda tidak panik. Tertuduh (sekiranya di dalam tahanan) akan bergantung harap sepenuhnya untuk isu mendapatkan nasihat guaman, urusan jaminan dan pelbagai isu lain, memandangkan tertuduh tidak lagi bebas bergerak. Anda perlu berfikir dengan tenang dan bertindak dengan berhati-hati bagi memastikan hak tertuduh tidak terancam.

Jadi pastikan anda membuat keputusan dengan minda yang tenang, pemikiran yang waras dan pengetahuan yang lengkap. Kerana keputusan anda akan membawa kepada kesan yang berpanjangan.